SANDAKAN : Sekadar mahu mendapatkan pengesahan dokumen pengalaman diri tetapi perlu menunggu berjam-jam lamanya, itu antara luahan seorang penduduk Sandakan, Ismail Ali yang terpaksa mengambil masa lebih 3 jam untuk berurusan di Pejabat Pendaftaran Sandakan, Batu 7 di sini.

Menurut beliau, tidak tahu di mana silapnya pengurusan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sandakan hingga situasi di sekitar pejabat itu tidak terkawal hampir setiap hari.
“Saya datang ke sini bagi mendapatkan pengesahan dokumen pengenalan diri dan anak tetapi kami perlu menunggu lebih satu jam hanya untuk mendapatkan nombor giliran sahaja.
“Rata-rata semua yang datang berurusan di pejabat ini merungut kerana ketidakcekapan sistem JPN di daerah ini hanya membuang masa pengguna,” katanya.
Sementara itu, Marikin Malik yang datang dari Batu 20, turun seawal pukul 6 pagi untuk urusan mengganti mykad miliknya yang rosak.
“Saya sampai di pejabat ini lebih kurang pukul 7 pagi dan ketika itu kawasan luar pejabat pendaftaran memang sudah sesak. Kerusi di ruang menunggu penuh menyebabkan orang ramai terpaksa duduk atau berdiri di tepi bangunan dan longkang.
“Lebih kasihan apabila ada warga tua atau ibu bapa yang membawa bayi perlu menunggu sehingga setengah hari semata-mata untuk berurusan di pejabat ini,” jelasnya.
Orang ramai yang ditemui berharap agar pengurusan sistem dan pejabat JPN Sandakan itu sendiri perlu ditambahbaik dengan kadar segera.
Rata-rata mereka menganggap pejabat dan kakitangan JPN sudah tidak mampu untuk menampung kapasiti pengguna yang datang berurusan.