KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan pemergian Datuk Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffae sebagai kehilangan besar khususnya dalam bidang politik di negeri ini.
Katanya, Allahyarhamah merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lumadan bukan sahaja seorang tokoh politik berpengalaman malah menyumbang kepada aspek pembangunan dan kemajuan Sabah ketika menjawat jawatan sebagai Menteri Kerja Raya
Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berkata, beliau mengenali rapat Allahyarmah sebagai rakan seperjuangan dalam bidang politik bermula dari era Usno sehingga Umno.
“Mewakili Umno Sabah, saya mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyaramah dan mendoakan semoga mereka sabar serta tabah menghadapi dugaan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Allahyarhamah dikenali sebagai pemimpin wanita yang lantang bersuara sekali gus disegani oleh seluruh lapisan masyarakat di negeri ini.
Allahyarhamah Datuk Dayang Mahani Pengiran Ahmad Raffae dilaporkan meninggal dunia pada pukul 10.30 Jumaat malam lepas.
Menurut sumber dalam kalangan ahli keluarganya, Allahyarhamah mendapatkan rawatan serta memerlukan bekalan darah A di Hospital Gleneagels Kota Kinabalu dan menghembuskan nafas terakhir di hospital yang sama.
Jenazah disembahyangkan di Masjid Jamek Likas pada 10 pagi dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung Likas.