PERAK: Tindakan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melantik “orang luar” sebagai ketua Warisan di Perak mengakibatkan lapan bahagian di negeri itu terbubar, selain 600 ahlinya bertindak keluar.
Tidak cukup dengan itu, wakil ahli itu, Murad Abdullah, mendakwa Warisan sudah tersasar hala tuju susulan kenyataan Shafie akan bergabung dengan mana-mana parti yang menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, bahagian bubar membabitkan Parit Buntar, Bagan Serai, Larut, Kuala Kangsar, Sungai Siput, Beruas, Batu Gajah dan Teluk Intan.
Menurutnya, tindakan Shafie melantik ‘orang luar’ sebagai ketua Warisan negeri membangkitkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli.
“Tindakan presiden itu menunjukkan seolah-olah ahli-ahli Warisan di Perak tidak berkelayakan sedangkan pengerusi sedia ada pun tidak mempunyai asas politik yang kukuh untuk meyakinkan kami yang dia layak memegang jawatan itu.
“Kami sama sekali tidak menolak orang luar dari Perak untuk dilantik ke jawatan itu, tetapi biarlah mereka merupakan tokoh daripada kepimpinan pusat atau lain-lain jawatan utama dalam parti,” katanya menurut Sinar Harian.
Murad yang sebelum ini penyelaras Warisan Bahagian Beruas, berkata hasrat bertemu dengan presiden parti untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan seolah-olah tidak dipedulikan.
Katanya, hala tuju parti berkenaan dilihat mengelirukan, selain tidak mendapat sambutan.
“Kami merasakan perjuangan Warisan telah tersasar dan tidak sesuai lagi dengan pemikiran kami apabila Shafie sendiri mengeluarkan kenyataan yang Warisan akan bergabung dengan mana-mana parti yang menang pada PRU15 bagi membentuk kerajaan.
“Kami merasakan parti tersebut sudah tidak lagi mempunyai hala tuju yang jelas dalam visi perjuangannya sama ada bersama kerajaan sedia ada atau pembangkang,” katanya.
Kata Murad, mereka yakin Warisan gagal memperoleh sebarang kerusi sekiranya bertanding pada PRU15 tidak lama lagi.