SERDANG: Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Shafiq Abdullah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai imigresen baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatankuasa khas itu akan diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali.
“Kita kena berlaku adil kepada semua pihak, (termasuk) yang mengadu, yang diadu,” katanya selepas merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia 2022.
“Kita serahkan kepada jawatankuasa yang akan ditentukan oleh KSN siapa jadi pengerusi, siapa ahli jawatankuasa dan sebagainya untuk membuat siasatan secara dalaman.
“Ahli jawatankuasa itu mungkin dari luar. Ada yang mencadangkan peguam negara sebagai pengerusi, itu saya serahkan kepada KSN dan saya harap penubuhan jawatankuasa itu disegerakan…jangan terlalu lama.”
Mengenai tempoh siasatan itu, Ismail berkata, beliau serahkan kepada jawatankuasa khas itu untuk menyiasat.
“Bukan susah sangat sebab ada video. Saya tengok ada video yang diedarkan. Mereka (jawatankuasa) perlu memanggil saksi, kedua-dua belah pihak dan mereka akan buat keputusan.
“Kita bincang, tak mahu timbul perpecahan dalam kalangan kakitangan kerajaan. Suasana harmoni dalam kerajaan perlu dikekalkan.”
Rabu lalu, Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) menuntut KPPA memohon maaf secara terbuka susulan dakwaan beliau menengking seorang pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan kata-kata kesat.
Presiden KPISM, Khairil Niza Khairuddin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku di Balai Berlepas KLIA antara 8.40 pagi hingga 9.40 pagi semalam kerana tiada pegawai imigresen ditempatkan di kaunter bilik VIP.
Tetapi, Jabatan Perkhidmatan Awam menolak dakwaan itu dengan berkata, Shafiq sekadar menegur pegawai imigresen bernama James Lee atas ketidakpatuhan amalan dan prosedur kerana tidak menyemak dokumen perjalanan dan pasportnya serta delegasinya.