LABUAN: Sebuah syarikat pemborong barang kawalan berjadual (CSA) di sini berdepan tindakan tegas selepas didapati gagal menyelenggara rekod stok dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan, hari ini.
Tindakan itu diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan menerusi Ops Pantau Bekalan.
Menurut kenyataan KPDN, pemeriksaan mendapati syarikat terbabit gagal menyelenggara buku stok pembelian dan penjualan bagi barang kawalan berjadual membabitkan minyak masak dan gula.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati butiran transaksi tidak direkodkan secara lengkap termasuk tarikh pembelian dan penjualan, kuantiti, harga serta maklumat pembeli dan pembekal.
Kesalahan itu dilakukan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dikuatkuasakan menerusi Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], khususnya Peraturan 13(1).
Di bawah peruntukan undang-undang berkenaan, peniaga berlesen yang mengendalikan barang kawalan diwajibkan menyelenggara buku stok dengan teratur dan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM1 juta atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan pematuhan undang-undang berkaitan barang kawalan sentiasa dipatuhi.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
