KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengalu-alukan komitmen Petronas untuk meneroka kerjasama lanjut dalam memperkukuh penyertaan Sabah dalam industri minyak dan gas.
Menurut beliau, komitmen itu mencerminkan hubungan strategik yang terus diperkukuh antara Kerajaan Negeri dan Petronas demi manfaat bersama.
Terdahulu, Hajiji menerima kunjungan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik yang memberi taklimat mengenai hala tuju kerjasama strategik serta perkembangan semasa operasi syarikat berkenaan di Sabah.
Dalam pertemuan itu, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik turut memaklumkan mengenai usaha bantuan banjir yang disalurkan Petronas bagi menyokong inisiatif Kerajaan Negeri membantu komuniti terjejas di negeri ini baru-baru ini.
Turut mengiringi delegasi Petronas ialah Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas & Maritim, Datuk Adif Zulkifli; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Datuk Bacho Pilong serta Naib Presiden Hubungan Strategik & Komunikasi Kumpulan, Norafizal Mat Saad bersama pegawai kanan syarikat itu.
