Brek Gagal Tren Guru SK Pangi, Jamawi Gesa Siasatan Segera

TENOM: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menggesa siasatan menyeluruh dijalankan susulan insiden kereta api yang membawa guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK)  Pangi dilaporkan mengalami masalah brek gagal berfungsi pagi tadi.

Menurut maklumat awal, kereta api berkenaan berjaya dihentikan selepas beberapa penduduk kampung bertindak pantas meletakkan troli motosikal di atas landasan bagi memperlahankan pergerakan tren tersebut.

Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, namun kejadian itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap penyelenggaraan dan keselamatan perkhidmatan kereta api di laluan pedalaman Tenom–Pangi yang menjadi nadi pengangkutan utama penduduk.

Jamawi berkata, Jabatan Keretapi Negeri Sabah perlu menjalankan siasatan penuh dan telus bagi mengenal pasti punca sebenar kegagalan sistem brek serta memastikan langkah pembetulan segera dilaksanakan.

“Aspek keselamatan tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi melibatkan guru dan penjawat awam yang bertugas di kawasan pedalaman,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Jabatan Kerja Raya (JKR) mempercepatkan pelaksanaan projek jalan raya Tenom–Pangi yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada awal 2025.

Menurutnya, walaupun kontraktor difahamkan sudah dilantik, projek tersebut perlu disegerakan memandangkan penduduk setempat masih bergantung hampir sepenuhnya kepada laluan kereta api yang terdedah kepada risiko teknikal dan faktor cuaca.

Insiden ini sekali lagi mengangkat isu keperluan infrastruktur asas di pedalaman Sabah yang sekian lama menjadi perhatian, khususnya akses jalan raya yang lebih selamat dan konsisten berbanding mod pengangkutan sedia ada.

Sabah News Today sedang mendapatkan maklum balas rasmi daripada Jabatan Keretapi Negeri Sabah berhubung insiden tersebut.