Pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri berkapasiti 200MW mampu atasi masalah catuan bekalan elektrik di Sabah – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Cadangan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bersama Suruhanjaya Tenaga (ST) Malaysia melaksanakan pemasangan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200 megawatt (MW) mampu mengatasi masalah catuan bekalan elektrik di Sabah.

Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor berkata meskipun ia masih di peringkat perbincangan antara SESB dan ST manakala permohonan rasmi akan dibuat dalam masa terdekat namun ia dilihat sebagai langkah penyelesaian jangka pendek yang ditunggu rakyat di negeri ini.

Katanya, beliau menyokong penuh kenyataan Pengerusi SESB Datuk Seri Madius Tangau serta Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Yaakob Jaafar bagi cadangan pemasangan BESS di Sabah dalam tempoh terdekat.

“Saya melihat cadangan pemasangan BESS ini adalah jauh lebih baik berbanding pelan cadangan menyewa dua kapal penjanakuasa KARPOWERSHIP dari Turki.

“BESS sangat mesra alam sekitar serta kos pun jauh lebih murah dalam keadaan situasi di Sabah yang ketika ini sangat mengalami kekurangan bekalan tenaga elektrik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jeffrey Nor berkata, Sabah sangat memerlukan bekalan tenaga yang mencukupi dengan mengelak kerapkali berlakunya ‘Black Out’ sekali gus langkah ini mampu mengatasi masalah catuan bekalan elektrik di Sabah.

“Dalam masa sama sudah pasti saya mahu melihat ST memainkan peranannya yang mana bukan hanya setakat mengawal kouta tenaga tetapi berusaha untuk mempastikan keutamaan bagi mengatasi kekurangan tenaga elektrik di Sabah dalam waktu yang terdekat ini.

“Sabah juga akan mengalami fenomena perubahan iklim yang memperlihatkan kita akan menghadapi cuaca panas sudah tentu keperluan tenaga elektrik tambahan diperlukan dalam menghadapi cuaca panas pada masa depan,” kata Jeffrey Nor.