KINABATANGAN : Mayat seorang lelaki ditemukan berhampiran sungai di Ladang Maisang Sime Darby Sukau di sini petang tadi dipercayai dibaham buaya.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan lebih kurang pukul 3.10 petang dan bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 62 kilometer dari balai bomba.
Menurut kenyataan itu, Bilik Kawalan Kota Kinabatangan menerima maklumat mengenai mangsa yang dipercayai dibaham buaya ketika sedang mencuci pakaian dan mandi di tebing sungai.
Mangsa dikenali sebagai Kamirun Malul, 42, yang disahkan meninggal dunia dalam kejadian itu.
Mayat mangsa telah dijumpai lebih kurang 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya.
Mangsa telah dibawa ke rumah keluarga dan diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 5.38 petang.