KOTA KINABALU: Penganjuran “Regatta Lepa” tidak hanya merayakan warisan budaya, tetapi juga merangsang ekonomi tempatan dan mempromosikan Semporna sebagai destinasi pelancongan yang berkembang pesat.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata ini juga memberikan peluang bagi generasi masa depan untuk memelihara kemahiran tradisional dalam pembuatan perahu Lepa.
Katanya pada tahun ini acara ini akan berlangsung dari 17 hingga 19 November depan di Dataran Regatta Lepa dan tema sambutan acara tahun ini adalah “Regatta Lepa: Lambang Perpaduan Masyarakat Madani”.
“Regatta Lepa merupakan acara yang diadakan setiap tahun di Semporna dan pada tahun ini, ianya dikelolakan oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama-sama dengan Lembaga Pelancongan Sabah dan Pejabat Daerah Semporna,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Christina berkata Semporna juga telah lama diiktiraf sebagai salah satu tarikan utama Sabah dengan pulau-pulau yang menakjubkan dan tempat-tempat menyelam yang indah menjadikannya antara destinasi pelancongan utama di peringkat global.
Katanya semporna juga kaya dengan keindahan alam semula jadi, budaya yang kaya, dan sejarah yang memukau.
Namun, beliau berkata Semporna bukan hanya tentang kecantikan alamnya. Ini juga adalah rumah bagi masyarakat Bajau Laut yang terkenal dengan kemahiran membuat perahu tradisional, yang dikenal sebagai “Lepa”.
“Lepa bukan hanya sekadar perahu, tetapi sebuah karya seni yang mewakili warisan dan identiti budaya Semporna,” katanya.
Dalam pada itu, Christina berkata seperti pada tahun-tahun sebelumnya, acara ini menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik pada ketiga-tiga hari acara diadakan dan tarikan utama adalah Sukan Laut dan Perarakan Lepa Tradisi dan Lepa Berhias di samping acara Sangom Maglami-lami, Pertandingan Budjang Manis dan Lalla Dorongan, Pertandingan Tagungguh, persembahan warna warni kebudayaan masyarakat Bajau Laut dan banyak lagi.