Pelantikan Ismail Sabri dan Hishammuddin paling tepat: Hajiji

KOTA KINABALU: Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan (Luar Negeri) sebagai langkah yang paling tepat memandangkan kedua-duanya mempunyai pengalaman luas dalam jawatan menteri kanan.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berkata Ismail dan Hishamuddin mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri.

“Kami yakin pelantikan tersebut akan memperkuatkan Perikatan Nasional (PN) dan pada masa yang sama membolehkan Malaysia memberi tumpuan kepada usaha memerangi wabak Covid-19,” kata Hajiji, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Sabah, hari ini.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengumumkan pelantikan itu mengatakan bahawa Ismail Sabri juga akan terus memegang portfolio Kementerian Pertahanan.

Sementara itu, sebagai Menteri Kanan, Hishammuddin akan mengambil alih kluster keselamatan yang sebelumnya dipimpin oleh Ismail Sabri dan juga membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Nasional (PPN).