KOTA KINABALU: Cadangan Kerajaan Negeri berkaitan membuka semula sektor pelancongan selepas penduduk menerima vaksinasi mencapai 60 peratus menjelang bulan Oktober ini adalah langkah wajar.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew berkata, beliau menyokong usaha Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor itu sekali gus menjamin semula agar sektor pelancongan Sabah dapat dipulihkan sepenuhnya dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Katanya, langkah ini sudah tentu memberi sedikit kelegaan kepada pengusaha sektor pelancongan yang terkesan selepas penularan Pandemik COVID-19 di negeri ini.
“Sebagai langkah permulaan kemungkinan sektor pelancongan domestik boleh beroperasi semula kemudian diperluaskan kepada pelancongan antarabangsa sebelum penghujung tahun 2022 atau awal tahun 2023.
“Walau bagaimanapun, kekurangan bekalan vaksinasi ini dilihat sedikit menjejaskan usaha kerajaan untuk menjayakan program tersebut. Dalam situasi sekarang ini proses vaksinasi terlalu mengambil tempoh yang panjang bagi mendapatkan suntikkan terutama pada mereka yang sudah mendaftar,” katanya.
Beliau mengulas kunjungan hormat Jawatankuasa Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) terhadap Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor semalam.
Dalam kunjungan itu MATTA mencadangkan beberapa langkah untuk menghidupkan semua industri pelancongan pasca Covid-19, bagi memastikan industri pelancongan di Sabah akan berjaya melalui pelan pemulihan pelancongan yang komprehensif.
Christina merupakan bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, dalam hal ini kerajaan negeri perlu mengesa agar kerajaan persekutuan mempercepatkan lagi usaha untuk menghantar segera bekalan vaksin ke negeri ini.
“Usaha ini begitu penting bagi mengurangkan lonjakan kes serta mencapai sasaran imunisasi pada hujung tahun seperti yang disarankan oleh kerajaan,” katanya.