Ismail Sabri Yaakob dilantik TPM, Hishamuddin kini menteri kanan keselamatan

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri manakala Datuk Seri Hishamuddin Hussein dilantik sebagai menteri kanan keselamatan.

Pelantikan mereka diumumkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Kenyataan itu turut mengumumkan pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Menteri Kanan yang mengetuai Kluster Keselamatan dan mengekalkan portfolio sebagai Menteri Luar

Pelantikan Hishammuddin pula akan membantu perdana menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.

Kedua-dua pelantikan berkenaan telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan berkuat kuasa serta-merta.

Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan pelantikan itu diharap akan dapat meningkatkan lagi keupayaan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang sedang dihadapi negara.

Selain itu, ia diharap dapat memperkuatkan lagi perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan serta memperkukuhkan kerajaaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

“Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Hishammuddin di atas pelantikan ini,” kata kenyataan itu.

— BERNAMA