10 daripada 69 melarikan diri di lokasi PKPD di tahan polis

KOTA KINABALU: Polis sudah menahan 10 daripada 69 penduduk Kampung Pondo Pulau Gaya yang dilaporkan melarikan diri di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah ( PKRC) di sini hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek yang berjaya di tahan ini dipercayai bekerja sebagai penjual ikan serta pekerja di Pasar Besar Kota Kinabalu.

“Semua 10 suspek yang berjaya di tahan awal pagi tadi itu dikesan bersembunyi di sekitar kawasan ibu negeri.

“Mereka ditahan awal pagi tadi kemudian  diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut,” katanya dalam laporan portal online Utusan Borneo hari ini.

Hazani berkata, kesemua 69 individu yang melarikan diri adalah kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dan perlu menjalani ujian calitan atau ‘swab test’ sebelum diarahkan untuk menjalani kuarantin di PKRC ditetapkan.

“Kita akan kenalpasti berkemungkinan ada kalangan mereka yang positif COVID-19 bagaimanapun KKM sudah ada mempunyai rekod berkaitan kejadian ini,” katanya.

Mengulas lanjut berkaitan kejadian itu, beliau berkata kesemua 69 dikesan hilang serta dipercayai melarikan diri di kampung berkenaan selepas arahan untuk membawa mereka ke PKRC dikeluarkan.

“Pasukan keselamatan juga giat mengesan saki baki penduduk yang masih belum dijumpai membabitkan pencarian di kawasan darat mahupun laut.

“Laluan utama dari perkampungan Pulau Gaya ke ibu negeri dipantau sepenuhnya oleh pihak polis bagaimanapun tidak semua kawasan dapat dipantau serentak dalam satu-satu masa,” katanya.

Beliau berkata setakat ini arahan untuk menyerah diri sudah dikeluarkan kepada individu yang masih hilang dan laporkan diri kepada pihak berkuasa secepatnya jika enggan dikenakan sebarang tindakan tegas kepada diri sendiri.

Kampung Pondo adalah antara empat perkampungan di Pulau Gaya yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selain Kampung Kasuapan, Lok Urai dan Kampung Pulau Gaya selepas mencatatkan 215 kes positif COVID-19 pada 6 Julai lalu.