TAWAU: Seramai 645 ketua keluarga di Pulau Sebatik, dekat sini hari ini menerima Bantuan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Bakul makanan itu disampaikan Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang turut meninjau keadaan penduduk di Pulau Sebatik hari ini.
Ma’mun berkata pihaknya dapat menyediakan kira-kira 3,000 bakul makanan daripada peruntukan RM300,000 menerusi PEMULIH itu kepada 15,000 ketua keluarga dalam Parlimen Kalabakan.
“Inisiatif saya adalah mencari alternatif termasuk memohon diskaun harga daripada pembekal dan sekurang-kurangnya saya cuba dapatkan 4,000 bakul makanan,” katanya kepada pemberita di sini sambil menambah, turut menggunakan peruntukan parlimen untuk menyewa bot dan membayar upah bagi penghantaran bakul makanan ke Pulau Sebatik.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Murani Jainal, 75, yang merupakan penduduk Kampung Sungai Tongkang di Pulau Sebatik menzahirkan terima kasih dan berkata bantuan itu tepat pada masanya bagi membantu kelangsungan hidup penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Sejak dilanda wabak ini (COVID-19), saya dan suami berusia 70 tahun tidak lagi ke laut dan dalam keadaan kami pun sudah tua dengan sumber pendapatan kami terjejas, bantuan ini dapatlah mengurangkan beban.
“Kalau dulu dapat tangkap ikan sikit boleh juga jual, anak-anak pun kerja dan beri duit. Namun kini, anak saya seramai sembilan orang mereka pun turut terjejas sumber pendapatan, ada yang kerja kilang tapi waktu ini kilang tutup sementara, ada yang hilang pekerjaan terpaksa mengutip hasil dengan potong rumput,” katanya.
Seorang lagi penerima bantuan, Maikasung Jalaluddin, 76, pula berharap Bantuan Bakul Makanan dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana meskipun suaminya masih berusaha mencari rezeki dengan menangkap ikan namun ia masih tidak mencukupi.
“Terima kasih kerajaan, suami kadang-dapat tangkap udang sikit, sehari boleh dapat RM10 yang dijual kepada penduduk,” katanya yang juga penduduk Kampung Sungai Tongkang.
— BERNAMA