KOTA KINABALU: Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata beliau hanya akan komen tentang pelantikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas pucuk pimpinan parti buat keputusan.
“Tiada komen buat masa ini,” katanya berhubung pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan membuat sebarang kenyataan sejurus pucuk pimpinan parti UMNO membuat keputusan dalam tempoh yang terdekat.
“Selepas UMNO membuat sebarang keputusan barulah saya komen,” katanya ketika dihubungi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan rasminya sebentar tadi mengumumkan Menteri Kanan bagi Kluster Keselamatan itu dilantik sebagai jawatan nombor dua pentadbiran negara yang berkuatkuasa serta merta.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien turut dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri yang mengetuai Kluster Keselamatan.
Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Pusat difahamkan mengadakan satu mesyuarat pada malam ini.