PAS Sabah komited laksana agenda penerangan

KALABAKAN: PAS Sabah menyambut saranan Konvensyen Penerangan PAS yang menggalakkan ejen penerangan PAS negeri mempunyai kemahiran mengenal pasti maklumat selain cakna dengan situasi persekitaran.

Ketua Penerangannya Ahmad Dullah berkata, pelbagai perancangan serta inisiatif bakal digerakkan bagi merealisasikan hasrat tersebut.

Katanya, setiap bahan yang disalurkan penerangan PAS Pusat akan diselaraskan bagi memastikan mesejnya sampai ke sasaran yang ditetapkan.

“Antara salah satu inisiatifnya termasuk, ejen penerangan diwajibkan memberi penerangan berkaitan agenda serta perancangan yang dilakukan oleh parti tidak kira bahan itu daripada pusat, negeri atau kawasan.

“Menjawab soalan remeh daripada pihak musuh itu hanya mengumpan kita daripada melaksanakan tugas utama bagi memberi penerangan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Setakat ini beberapa platform rasmi parti termasuk portal online HarakahDaily serta beberapa halaman rasmi parti di laman Facebook perlu menjadi rujukan agar naratif yang disalurkan itu tidak lari dari objektif asal.

Ahmad berkata, pihaknya komited dalam melaksanakan setiap tugasan yang diberikan agar masyarakat maklum mengenai gerak kerja parti itu.

Ahad lalu, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri, Muhammad Sanusi Mohd Nor menegaskan ejen penerangan perlu mengenal pasti maklumat berkaitan isu semasa memandangkan ia adalah satu faktor yang sangat penting buat mereka.

-SabahNewsToday