KOTA KINABALU: Sabah berharap dapat mencapai imuniti kelompok 80 peratus penduduk menerima vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun ini bagi mengekang penularan pandemik tersebut di negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pelbagai usaha dan strategi dilaksana bagi meningkatkan jumlah pemberian vaksin COVID-19 di negeri itu untuk memastikan 2.9 juta penduduk Sabah menerima vaksin berkenaan.
“Saya juga mengarahkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di seluruh negeri supaya menggerakkan proses pendaftaran secara agresif di semua daerah bagi mempercepatkan program vaksinasi.
“Setakat ini seramai 326,556 orang termasuk anggota tentera telah menerima dos pertama dalam fasa pertama dan kedua,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kempen Sifar Pandemik COVID-19 yang dilancarkan secara dalam talian di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.
Turut hadir secara dalam talian Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmy Yahya dan Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Christina Rundi.
Pada Selasa, Hajiji dilaporkan berkata kerajaan negeri kini berusaha untuk meningkatkan kadar pemberian vaksin kepada 30,000 orang sehari pada 1 Julai berbanding kira-kira 13,000 orang sehari pada masa ini.
Mengenai sasaran 30,000 penerima vaksin sehari, Hajiji berkata usaha itu mampu dicapai dengan pembukaan lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV), selain adanya bantuan daripada sektor swasta dan program bergerak Jabatan Kesihatan di kawasan luar bandar.
Beliau berkata setakat ini 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi di seluruh negeri bagi membantu Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang diperluas kepada penduduk Sabah yang berumur 18 tahun ke atas.
Selain itu katanya program imunisasi di negeri itu juga memberi fokus kepada sektor pembuatan melalui Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) yang bakal dilaksanakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sebagai PPV.
“Program PIKAS akan beroperasi mulai Julai yang menyasarkan 1,500 pekerja dalam sektor ini dijangka menerima vaksinasi dalam masa sehari,” katanya.
Mengenai Kempen Sifar Pandemik COVID-19, Hajiji berkata ia adalah inisiatif bersama antara kerajaan negeri dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertujuan mewujudkan penanda aras baharu bagi masyarakat di negeri ini untuk mencapai angka sifar kes harian COVID-19.
“Pandemik ini tidak akan dapat dihentikan jika kita menganggap kita telah menang setiap kali kelonggaran diberikan dalam setiap perlaksanaan secara berperingkat yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
— BERNAMA