Wanita tular ugut polis direman

KOTA KINABALU: Wanita yang tular dalam rakaman mengugut anggota polis di sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kepayan, di sini, pada 17 Jun lalu direman selama dua hari bagi membantu siasatan lanjut.

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan di rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Lintas, di sini, jam 11.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, ketika ditahan, polis merampas pakaian yang dipakai wanita itu dalam kejadian berkenaan bersama telefon bimbit, kad pendaftaran kereta dan kunci kenderaan.

Katanya, polis turut mengambil tiga telefon pintar milik anggota polis yang bertugas bagi membantu siasatan lanjut.

“Pakaian yang dirampas itu bagi mengenal pasti ia adalah pakaian yang dipakai oleh wanita itu dalam kejadian yang dirakam dalam video.

“Ketika insiden itu, polis mengeluarkan saman terhadap wanita terbabit atas kesalahan tamat tempoh cukai jalan dan insurans kenderaan.

“Bagaimanapun berlaku kekecohan sehingga wanita terbabit mengeluarkan kenyataan ugutan,” katanya pada sidang media di pejabatnya, dalam laporan portal online Harian Metro hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya turut mengambil keterangan daripada seorang pegawai dan tujuh anggota serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan hasil siasatan lengkap akan diserahkan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan sudah meliputi 80 peratus dan wanita itu juga memberikan kerjasama yang amat baik sejak ditahan,” katanya.

–SabahNewsToday