KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju tanggungjawab penguatkuasaan termasuk serbuan oleh semua agensi terhadap kilang yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara diselaraskan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebelakangan ini, kerajaan menerima banyak aduan melibatkan sektor perkilangan yang didakwa menyalahgunakan surat kebenaran menjalankan operasi melibatkan perkhidmatan bukan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.
Menurutnya berdasarkan maklumat, terdapat kilang dikesan melanggar SOP apabila beroperasi melebihi kapasiti 60 peratus pekerja, malah ada antara mereka yang memakai gelang kuarantin tetap diarahkan datang bekerja.
“Justeru, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang melanggar SOP dengan melakukan pemeriksaan dan serbuan. Kilang-kilang yang dikenal pasti ini akan dikenakan kompaun termasuk arahan menutup premis serta-merta,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD) hari ini.
Pada 17 Jun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata majikan sektor perkilangan akan dikompaun terus tanpa amaran jika melanggar SOP PKP mulai 18 Jun.
Hamzah berkata lebih 40 kilang di seluruh negara telah dikompaun sejak 1 Jun lepas kerana melanggar SOP PKP.
— BERNAMA