KOTA KINABALU: Kawasan Pantai Timur Sabah berpotensi sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu berikutan kedudukannya berdekatan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (EAGA).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sehubungan itu agensi
POIC Sabah Sdn Bhd meletakkan taman perindustrian serta pelabuhannya di Lahad Datu sebagai hab logistik untuk BIMP-EAGA.
Katanya, rancangan membina akademi maritim bagi menyokong ekonomi EAGA yang bergantung kepada maritim serta hab pengangkutan marin untuk meningkatkan kesalinghubungan antara EAGA.
“Sebagai sebahagian daripada Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), Sabah berada di lokasi yang strategik.
“Memandangkan BIMP-EAGA bersiap sedia untuk meraikan ulang tahunnya yang ke-30 tahun depan, kami harus mengambil kira potensinya. Data mengenai BIMP-EAGA menawarkan banyak peluang,” katanya di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Hajiji berkata, terdapat banyak potensi dalam kerjasama rentas sempadan dalam sektor yang diperuntukkan seperti pengangkutan; tenaga dan kesalinghubungan kuasa.
“Sektor perdagangan dan pelaburan; teknologi maklumat dan komunikasi; agroindustri dan perikanan; pelancongan; alam sekitar dan sosiobudaya dan pendidikan.
“Kecuali Brunei, ahli EAGA lain berada jauh dari ibu kota mereka di Jakarta dan Manila. Oleh itu, Sabah sesuai sebagai pintu masuk untuk perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, penubuhan ibu negara Indonesia baharu, Nusantara di Kalimantan Timur, akan meningkatkan keunggulan Sabah.
“Kebanjiran orang dan perusahaan ke Borneo akan memangkin pertumbuhan ekonomi. Kerajaan Negeri percaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh menerokai subrantau ini dengan pasaran lebih 70 juta pengguna dan berkembang,” katanya.
Sementara itu Hajiji berkata, Sabah yakin akan mendapat lebih banyak pelaburan berimpak tinggi dan melonjak lebih jauh melebihi pelaburan RM9 bilion yang telah diluluskan pada separuh pertama tahun ini.
“Tahun lepas, dagangan Sabah mencecah rekod tertinggi RM118.1 bilion berbanding RM87.2 bilion pada 2021. Kami pastinya ingin melihat lebih ramai pelabur datang ke Sabah untuk mewujudkan lebih banyak perniagaan yang bermanfaat kepada semua,” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa berpandukan pelan hala tuju pembangunan, Hala Tuju Sabah Maju Jaya, komitmen Sabah terhadap pertumbuhan tidak berbelah bahagi.
“Ia akan terus mendorong agenda pembangunannya berdasarkan tiga tonggak pertumbuhan iaitu Pertanian, Industri dan Pelancongan serta memberi penekanan kepada pelaburan dalam rakyat, meningkatkan kesalinghubungan dan kemampanan hijau,” katanya.