Kerajaan Persekutuan Perlu Tangani Isu Kemiskinan Digital dan Infrastruktur Asas Di Sabah

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan perlu memberi fokus kepada penyelesaian menghadapi cabaran kemiskinan digital di Sabah, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey A.Suan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) harus mengambil langkah strategik yang terarah dan terpadu kerana transformasi digital semakin penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial yang menuntut respons yang komprehensif.

Beliau yang memuji perlaksanaan RMK-12 khususnya dalam isu digitalisasi dan teknologi sejajar dengan proses negara beralih sepenuhnya ke arah penggunaan teknologi digital.

“Bertepatan dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) yang bakal dilancurkan tidak lama lagi untuk melahirkan murid berkemahiran digital dalam era Revolusi Industri 4.0.

“Selain itu Kerajaan Madani melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI) akan menyediakan dana khusus berjumlah RM209 juta bagi membantu belia menceburkan diri dalam sektor pembuatan.

“Namun, perlu disedari keadaan infrastruktur yang ada di Sabah amat menyedihkan, yang mungkin akan merencatkan pelaksanaannya kelak”, katanya ketika membahas Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Negara, semalam.

Bobbey berkata, latihan dan pendidikan literasi digital harus disuburkan, budaya e-commerce atau e-dagang boleh dikembangkan melalui dorongan pengembangan dan distribusi penggiat digital seperti pendidikan secara atas talian, informasi kesihatan, dan peluang perniagaan yang terbuka.

Menurutnya, ini tidak hanya memperkaya pengetahuan masyarakat, tetapi juga merangsang pertumbuhan ekonomi setempat. Penglibatan pihak swasta juga dapat membantu mempercepat solusi dengan merangsang firma digital dalam penyediaan pelan akses internet dengan mendirikan pusat teknologi digital yang memberikan akses dan latihan kepada masyarakat.

Sehubungan itu beliau mohon penjelasan daripada  pihak kerajaan pada tahap manakah setakat ini keupayaan peluasan infrastruktur digital di bawah program “Jendela” yang membolehkan 100 peratus liputan jalur lebar di kawasan berpenduduk dalam RMK-12 telah disempurnakan.

“Saya difahamkan infrastruktur digital baharu di 382 tapak akan disediakan dan sebanyak 781 Points of Presence (POP) sedang dilancurkan di Sabah, tetapi sehingga hari ini masih banyak kawasan yang tidak dapat mengakses rangkaian internet.

“Sedangkan infrastruktur ini diperlukan bagi membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan kawasan komersial mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

“Inisiatif ini penting khususnya dalam menjayakan agenda merapatkan nisbah jurang pendapatan antara desa dengan bandar, daripada 0.57 pada tahun 2022 kepada 0.67 pada 2025,” katanya.

Justeru itu, beliau memohon agar kementerian yang diamanahkan agar dapat merealisasikan inisiatif murni dengan kadar segera”, tegasnya.