‘Pakai pelitup muka, terutamanya ahli politik’ – KJ

KUALA LUMPUR: Semalam, Khairy Jamaluddin mengingatkan rakyat untuk memakai pelitup muka selepas menjamu selera di premis makanan, hari ini Menteri Kesihatan itu menegur pula ahli politik yang mengabaikan antara ketetapan dalam prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan COVID-19 itu.

Teguran Khairy di Instagram beliau dilihat tidak lagi bernada lembut, sebaliknya tegas mengingatkan ahli politik bahawa kebanyakan mereka ada penyakit tidak berjangkit (NCD) dan pengabaian itu boleh mempengaruhi jangkitan dan kemasukan hospital.

“Bukan lagi peringatan agak mesra. Pakai pelitup muka. Terutamanya ahli politik. Ramai dan semakin ramai rakan sekerja saya dilihat dalam gambar pada mesyuarat tanpa memakai pelitup muka. Banyak ahli politik mempunyai diabetes, hipertension (tekanan darah tinggi) dan mungkin kegemukan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan situasi yang terjadi di United Kingdom (UK) yang kini berdepan kenaikan kes disebabkan ramai enggan memakai pelitup muka.