KOTA KINABALU: Organisasi media disaran untuk menawarkan gaji dan insentif yang lebih menarik bagi memastikan industri kewartawanan di Sabah kekal utuh dengan penglibatan generasi muda sebagai pelapis dalam bidang berkenaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata ketika ini tidak ramai anak muda ingin menjadikan bidang kewartawanan sebagai pilihan kerjaya, antaranya disebabkan tawaran gaji yang kurang menarik.
“Saya difahamkan tidak ramai anak muda memllih atau mahu menceburi bidang kewartawanan sebagai kerjaya mereka.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk organisasi media menawarkan gaji dan insentif-insentif yang bersesuaian.
“Ini bagi memastikan lebih ramai generasi muda menyertai bidang kewartawanan ini pada masa akan datang,” katanya ketika merasmikan Kinabalu Press Awards (KPA) 2023 di sini malam tadi.
Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Datuk Muguntan Vanar dan Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri Datuk Lucy Irene Yong.
Sementara itu, Hajiji percaya penganjuran KPA setiap tahun dapat menyuntik semangat kepada semua wartawan untuk terus menghasilkan bahan berita berimpak tinggi dan memberi kesan positif kepada pembaca.
“Majlis ini adalah untuk mengiktiraf pengamal media yang telah menghasilkan karya kewartawanan yang cemerlang.
“Saya melihat penganjuran KPA ini terus relevan dalam memberikan penganugerahan kepada pengamal media di negeri ini. Semoga pengiktirafan malam ini dapat meningkatkan lagi kualiti kewartawanan di negeri ini,” katanya.
Dalam hal berkaitan, Hajiji mahu pengamal media terus membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat mengenai kejayaan yang dicapai hingga ke peringkat akar umbi agar dapat meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
“Ini seiring dengan acara malam ini yang bertemakan ‘Progress Through Smart Partnership’, sebagai simbolik kepada kerjasama pintar antara pengamal media dan Kerajaan Negeri Sabah, khususnya dalam melaporkan berkaitan dasar dan pembangunan yang dibawa oleh kerajaan.
“Kerjasama pintar antara pengamal media dan Kerajaan Negeri amat penting dan perlu terus diperkukuhkan untuk memastikan kejayaan yang dicapai menerusi Hala Tuju SMJ dapat disampaikan secara terus kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga berharap Pejabat baharu SJA akan memudahkan persatuan mengadakan pelbagai aktiviti dan program bersama ahli-ahlinya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan usaha bagi membantu persatuan ini untuk membina bangunan SJA pada masa akan datang.