LABUAN: Sebanyak 350 anak pokok berjaya ditanam menerusi Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di sekitar Padang Majal Kampung Pohon Batu dekat sini, pada Sabtu.
Program yang dianjurkan bersama Perbadanan Labuan dengan pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar Institut Pengajian Tinggi itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) Perbadanan Labuan Fadzilah Mahmud.
Terdahulu, Fadzilah ketika berucap pada program itu berkata, pelaksanaan Kempen Penanaman 100 juta pokok bertujuan meningkatkan kesedaran semua pihak melindungi alam sekitar untuk kesejahteraan dan kualiti hidup, selain usaha untuk menambahbaik ekosistem dan biodiversiti negara.
“Selain itu, program ini juga merupakan program untuk memupuk semangat kecintaan terhadap alam sekitar dan landskap di kalangan warga institusi pendidikan tinggi, warga agensi-agensi kerajaan dan belia-belia”, katanya.
Menurut Fadzillah, sebelum ini Perbadanan Labuan juga telah melaksanakan beberapa inisiatif Go Green antaranya ialah kempen low carbon iaitu penanaman pokok di institusi-institusi pendidikan dan agensi-agensi kerajaan.
Sementara itu, penanaman pokok teduhan di bandar dan di sepanjang jalan-jalan utama adalah bagi merendahkan suhu bandar dan untuk penyerapan karbon.
Antara agensi kerajaan dan pihak swasta serta NGO yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Penjara, Jabatan Alam Sekitar, Polis, PETRONAS, Maybank, Labuan Society, Majlis Belia Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), dan Pertubuhan Belia dan Beliawanis Pohon Batu (GABPOBA).