KOTA KINABALU : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) diumumkan sebagai johan keseluruhan selepas memperolehi sembilan pingat emas dan satu pingat perak pada Pesta Sukan Muhibah Jabatan Ketua Menteri (JKM) kali ke-13 berakhir malam tadi.
Mayor DBKK, Datuk Norliza Awang Alip menerima hadiah piala pusingan sukan dwi-tahunan itu disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Kejohanan berlangsung selama seminggu itu turut disertai oleh enam pasukan termasuk JKM (Perdana), DBKK, Jabatan Tanah dan Ukur, Perhutanan Sabah, Yayasan Sabah dan Sawit Kinabalu.
Sebanyak 10 jenis sukan dipertandingkan termasuk futsal, bola tampar, badminton, dart, bola sepak, ping pong, sepak takraw, golf, bola jaring, dan tenpin boling.
“DBKK memenangi 9 acara sukan ini manakala hanya tewas dua sukan iaitu Sepak Takraw san Golf. Saya ucapkan tahniah kepada seluruh atlet DBKK yang terlibat dalam acara sukan Pesta Sukan Muhibah ini.
“Inilah satu petanda baik serta kerja keras semua atlet sehingga DBKK diumumkan juara pada sukan ini, kita kekalkan lagi kejuaraan ini pada masa depan,” Jelas Noorliza.
Menurutnya, majlis penutupan Pesta Sukan Muhibah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.