DUN Sabah dicadang dijadikan platform tuntut 40 peratus secara berkata dari Kerajaan Persekutuan – Masiung

KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) wajar dijadikan platform bagi menuntut bayaran balik hasil kewangan Sabah 40 peratus ‘secara berkala’ yang dikutip Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Masiung Banah berkata, jika Putrajaya berasa sukar memulangkan serentak bayaran 40 peratus dalam masa setahun, pada dasarnya DUN Sabah boleh mensyorkan mekanisme supaya bayaran dibuat secara berkala.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut menggesa Speaker DUN Sabah, menyediakan agenda tuntutan berkala itu dalam persidangan hujung tahun ini untuk dibahaskan.

“Cadangan ini bagi memudahkan akses Putrajaya melaksanakan bayaran balik hasil kewangan Sabah itu yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).

“Kita beri kelonggaran kepada Kerajaan Persekutuan, sama ada mahu membayar tiga atau empat kali dalam tempoh setahun sehingga mencapai angka 40 peratus,” tegasnya.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) kesal kerana Putrajaya sengaja melengahkan tuntutan itu sehingga rakyat Sabah terpaksa menenti selama 60 tahun.

Masiung mengingatkan, kegagalan kerajaan Persekutuan mengembalikan hasil 40 peratus akan menimbulkan kemarahan rakyat Sabah sekaligus menimbulkan persepsi bahawa pemimpin Kerajaan Negeri tidak bersungguh-sungguh terhadap tuntutan itu.

Menurutnya, tahun lalu Kerajaan Persekutuan telah mengaut keuntungan sebanyak RM41 billion dari hasil minyak dan kastam Sabah.

Jumlah itu katanya, tidak termasuk hasil kutipan dari agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), syarikat ladang sawit dan pelabuhan.