‘OP Bantu Khas’ agih 420 daging korban kepada kumpulan sasar

LAHAD DATU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu mengagihkan sebanyak 420 bungkusan daging korban dalam ‘OP Bantu Khas’ sempena Hari Raya Aidiladha kepada golongan sasar serta asnaf di sekitar daerah itu di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, sasaran agihan ini melibatkan 11 lokasi termasuk Rumah Anak Yatim serta Sekolah Agama Rakyat, Madrasah Mahabah, pesara Polis dan balu Polis dari Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Cawangan Lahad Datu.

Katanya, agihan daging korban juga turut disalurkan di beberapa kampung terpilih sekali gus bertujuan membantu meringankan beban mereka akibat terkesan dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kepada kalangan individu yang masih memerlukan bantuan ini boleh hubungi menerusi talian applikasi whatsapp Op_Bantu LD di 019 2186 984 dan Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 08 9881255.

“Ini merupakan pendekatan IPD Lahad Datu melalui ‘OP Bantu Khas’. Disamping menjalin hubungan baik bersama masyarakat setempat sambil menyumbang sedikit keperluan bersempena perayaan Hari Raya Aidiladha ini,” katanya.

Rohan Shah berkata, pada tahun ini, IPD Lahad Datu bekerjasama dengan Ahli Jawatankuasa Masjid AT-Taqwa dan PERKEP, selain sumbangan ini diselenggarakan oleh Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS Bahagian Agama dan Kaunseling).

“Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKKD), IPD Lahad Datu juga tidak ketinggalan bersama-sama menjayakan ibadah korban sekali gus turut mengagihkan daging korban kepada golongan sasar,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Rohan Shah bersama warga IPD Lahad Datu turut mengadakan solat sunat Aidiladha di Masjid AT-Taqwa, IPD Lahad Datu sekali gus mematuhi kapasiti masjid berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa Dua bagi negeri Sabah yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).