KOTA KINABALU: Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mempersoalkan keputusan pentadbiran universiti yang sekali lagi membenarkan Sabah Motor Day (SMD) diadakan di dalam kampus.
Dalam kenyataan hari ini, MPP mendakwa beberapa isu pernah timbul ketika penganjuran terdahulu termasuk dakwaan gangguan seksual, pembuangan sampah tidak terkawal serta pencemaran bunyi dan udara.
Menurut MPP, isu berkenaan sepatutnya menjadi asas kepada penilaian semula dan bukannya kelulusan automatik setiap tahun.
MPP turut melahirkan kebimbangan kerana program itu diadakan menjelang kemasukan pelajar baharu dan Minggu Suai Mesra (MSM), ketika fokus universiti sepatutnya tertumpu kepada persediaan akademik dan kebajikan mahasiswa.
“Kami tidak menolak Sabah Motor Day atau matlamatnya, tetapi mempersoalkan kesesuaian lokasi serta masa penganjurannya,” menurut kenyataan itu.
MPP turut mencadangkan supaya acara tersebut dipindahkan ke lokasi awam yang lebih sesuai seperti Stadium Likas atau kawasan penganjuran yang mampu menampung kehadiran pengunjung dalam jumlah besar tanpa menjejaskan operasi universiti.
