KOTA KINABALU: Perkembangan teknologi perubatan membuka ruang kepada penggunaan kaedah pembedahan yang lebih moden dan kurang invasif dalam rawatan kanser payudara, termasuk pembedahan mastektomi endoskopik.
Konsultan Pembedahan Payudara dan Endokrin Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS), Profesor Madya Dr Nik Amin Sahid Nik Lah berkata, prosedur itu membolehkan tisu payudara yang mengandungi kanser dibuang menggunakan kamera dan peralatan khas melalui bukaan luka yang kecil.
Menurut beliau, teknik tersebut menawarkan hasil kosmetik yang lebih baik berbanding mastektomi konvensional kerana luka pembedahan lebih kecil dan biasanya tersembunyi di bahagian ketiak atau lipatan kulit.
“Di Sabah, teknik ini mula diperkenalkan sejak tahun 2024 dan kini menjadi salah satu pilihan pembedahan yang sesuai bagi pesakit kanser payudara peringkat awal atau pesakit yang menunjukkan tindak balas baik selepas rawatan onkologi,” katanya.
Beliau berkata, kajian menunjukkan teknik itu mencapai kadar margin pembedahan bersih yang tinggi selain kadar komplikasi yang rendah dan tahap kepuasan pesakit yang lebih baik dari segi estetik.
