Agong kurnia RM500,000 kepada mangsa kebakaran di Sabah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM500,000 kepada mangsa kebakaran di Kudat dan Sandakan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pemegang Amanah Urusan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Tan Sri Avinderjit Singh kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Menurut Hajiji, sumbangan tersebut membuktikan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat tragedi kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat dan Kampung Bahagia, Sandakan.

“Ini adalah tanda keprihatinan Baginda terhadap rakyat Sabah yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Kerajaan Negeri amat menghargai sumbangan dan sokongan yang diberikan, khususnya tragedi kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat serta tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah akan terus memperkukuh usaha penyelarasan bantuan kebajikan, pengurusan pusat pemindahan sementara serta memastikan kebajikan mangsa sentiasa terpelihara.

Pada 16 April lalu, kebakaran di Kampung Gumpa, Kudat memusnahkan lapan rumah dan menjejaskan 67 mangsa.

Manakala pada 18 April, kebakaran besar di Kampung Bahagia, Sandakan memusnahkan 1,050 rumah dan menjejaskan 914 Ketua Isi Rumah (KIR).