KOTA KINABALU: Majlis Perbandaran Penampang (MPP) mengenal pasti sebanyak 11 penempatan setinggan berisiko tinggi kebakaran di kawasan Kapayan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Maijol Mahap berkata penempatan terbabit melibatkan kawasan di darat, tepi parit serta berbukit.
Menurutnya, antara faktor utama yang menyumbang kepada risiko kebakaran adalah kepadatan penduduk yang tinggi, susun atur rumah yang rapat dan tidak terancang serta penggunaan bahan binaan mudah terbakar.
Beliau berkata keadaan laluan yang sempit dan terhad di kawasan tersebut juga berpotensi menjejaskan kelancaran operasi pasukan penyelamat termasuk bomba sekiranya berlaku kebakaran.
“MPP melaksanakan pemantauan berterusan selain mengeluarkan notis di bawah Undang-Undang Kecil berkaitan bangunan dan keselamatan,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming.
Tambah beliau, penguatkuasaan dilaksanakan secara berperingkat termasuk notis amaran, lanjutan serta tindakan perundangan terhadap pemilik tanah.
