KUALA LUMPUR: Pendakwah Ebit Lew menjelaskan bahawa segala kos perbelanjaan misi kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, Palestin, adalah menggunakan wangnya sendiri bukannya daripada kutipan mana-mana tabung derma.
Beliau menyatakan perkara itu bagi menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan dia membazirkan kos tertentu hasil sumbangan terhadap misi berkenaan untuk masuk ke Gaza.
“Saya pergi dengan duit saya sendiri dan tak pernah buka satu tabung pun untuk misi berkenaan.
“Bagaimanapun, apabila ada pihak yang menyatakan sebaliknya maka saya anggap ini sebagai ujian dari Allah SWT,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, laporan Berita Harian hari ini.
Beliau yakin perkara untuk memburuk-burukkan niat baik pasukan bantuannya itu tidak akan berkesudahan sampai bila-bila.
“Niat kami bersama sahabat-sahabat saya adalah membantu rakyat di Gaza, Palestin dan tak pernah ada satu tabung pun diwujudkan.
“Segala kos dan perbelanjaan adalah menggunakan duit saya sendiri,” katanya.