Sabah catat dua kluster baharu tempat kerja

KOTA KINABALU: Seorang operator kilang plastik yang dijangkiti COVID-19 telah mencetuskan satu lagi kluster baharu berkaitan tempat kerja, Kluster Industri KKIP Selatan di kawasan perindustrian di Kota Kinabalu, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kes indeks adalah seorang lelaki berusia 20 tahun yang bertugas sebagai operator kilang telah disahkan positif COVID-19 pada 12 Julai selepas bergejala pada 9 Julai lalu.

“Daripada 45 sampel dalam kalangan kontak rapat yang diambil di daerah Kota Kinabalu, lapan kes telah dikesan positif termasuk enam kes baharu pada hari ini (semalanm), manakala 32 sampel negatif dan lima kes masih menunggu keputusan ujian saringan.

“Selain itu, empat lagi kes dengan kaitan epidemiologi juga telah didaftarkan di daerah Tuaran, menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 12 kes,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Masidi berkata, Sabah turut mencatatkan satu lagi kluster baharu di Beluran iaitu Kluster Sawit Lung membabitkan pekerja ladang bukan warganegara dipercayai berpunca dari pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lemah.

“Kes indeks adalah lelaki bukan warganegara berusia 35 tahun. Daripada 40 kontak yang disaring, 11 kontak dikesan positif menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 15 kes,” katanya.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 yang direkodkan semalam adalah sebanyak 474 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 76,927 kes dan satu kes kematian di Beaufort.