Mangsa Kebakaran Kg. Petagas, Bukit Vor Terima Bantuan

PUTATAN : Seramai 74 mangsa daripada 28 keluarga kebakaran di Kampung Petagas serta Bukit Vor menerima bantuan daripada kerajaan negeri di sini semalam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turun padang melawat dan menyampaikan bantuan itu kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa terjejas, yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Sri Putatan.

Katanya, bantuan ini bagi meringankan beban mangsa, setiap KIR menerima pelbagai bentuk bantuan termasuk bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000.

“Selain itu mereka menerima bantuan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) sebanyak RM1,000, bantuan Pusat Zakat Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sebanyak RM1,000 dan bakul makanan serta RM300 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

“Bagi KIR yang rumah mereka musnah sepenuhnya, Kerajaan Negeri akan membina Rumah Mesra SMJ di tapak sedia ada, sementara bagi rumah yang sebahagian sahaja terbakar, Kerajaan akan membantu diantara RM5000 hingga RM10,000”, katanya.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri prihatin dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara, terutama ketika berdepan musibah.

Dalam dua insiden berasingan tersebut, seramai 74 orang mangsa daripada 28 keluarga kehilangan tempat tinggal.

Kebakaran di Kampung Petagas melibatkan 20 KIR dengan 46 mangsa, manakala kebakaran di Bukit Vor melibatkan 8 KIR dengan 28 mangsa.