Majlis Daerah Putatan perlu selesaikan isu kritikal di PPR Taman Sri Keramat Putatan – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU: Isu bekalan air bersih, operasi lif tidak berfungsi serta proses penyelenggaraan bangunan tidak konsisten antara runggutan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Keramat, Putatan.

Ketua Bahagian UMNO Putatan, Jeffrey Nor Mohamed berkata, pihak pengurusan Majlis Daerah Putatan (MDPTN) perlu bertindak segera menyelesaikan isu kritikal ini sekali gus menilai semula kemampuan pihak pengurusan syarikat mengendali perkhidmatan di kawasan PPR Taman Sri Keramat, Putatan ini.

Katanya, setakat ini pernahkah pihak MDPTN menilai prestasi pengendali syarikat di PPR tersebut atau hanya membiarkan mereka menjalankan operasi tanpa sebarang pengawasan sejak sekian lamanya.

“Saya ingin bertanya adakah mereka ini (Pihak Pengurusan) berkelayakan menyelesaikan isu kritikal membabitkan penghuni rumah PPR terutama di kawasan Taman Sri Keramat ini.

“Sepatutnya pihak pengurusan di PPR Taman Sri Keramat ini mestilah mempunyai kemampuan kewangan yang kukuh dengan menyediakan perkhidmatan memperbaiki dulu kerosakan ini tanpa menunggu pungutan bulanan atau peruntukkan daripada dana kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jeffrey Nor berkata, pihak MDPTN perlu melantik syarikat pengendali perkhidmatan yang  berwibawa dan memahami peranan serta perasaan penghuni yang terjejas sekali gus memastikan masalah isu kritikal ini diselesaikan dalam tempoh singkat.

“Saya menerima banyak rintihan serta runggutan dalam kalangan penghuni PPR Taman Keramat Putatan ini berkaitan isu kritikal membabitkan bekalan air bersih, penyelenggaraan bangunan serta kegagalan lif berfungsi yang sudah berlarutan sejak sekian lama.

“MDPTN perlu melihat isu ini secara serius kerana saya sangat memahami keadaan penghuni PPR Taman Sri Keramat Putatan merupakan kalangan sahabat lama sekali gus memerlukan pihak penyelesaian segera isu kritikal ini dalam tempoh terdekat,” jelas Jeffrey Nor.

Sementara itu Jeffrey Nor menggesa agar pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) menjelaskan isu berkaitan tekanan air rendah kepada penghuni di PPR Taman Sri Keramat Putatan ini.

“Jabatan Air perlu menjelaskan apa sebenarnya punca berlaku jika paip utama bocor serta operasi berkaitan Rumah Pam tidak lagi sesuai digunakan di kawasan ini.

“Jika lojinya tidak berfungsi dengan baik perlu buat notis makluman….Kalau perlu adakan majlis dailog dengan penghuni yang terjejas,” tambah Jeffrey Nor.

Selain itu, Kementerian Kerajaan Tempatan Dan Perumahan Sabah boleh menjalankan kajian tentang perjanjian dengan syarikat pengendali perkhidmatan bagi mengatasi isu di PPR Taman Sri Keramat Putatan ini.

“Pihak terbabit perlu menyemak  laporan oleh agensi yang terlibat…Jika masih jika gagal berfungsi tamatkan perkhidmatan syarikat ini.

“Banyak lagi syarikat yang berwibawa sekali gus mampu menyelesaikan isu kritikal penghuni PPR Taman Sri Keramat ini dalam tempoh terdekat,” jelasnya.