Dakwaan salah guna kuasa babitkan Ketua Menteri hanya rekaan – Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan dakwaan berlaku salah guna kuasa berkaitan urus niaga tanah di Kudat yang membabitkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dengan seorang ahli perniagaan sebagai rekaan semata-mata.

Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata dakwaan itu yang disebarkan menerusi laman Facebook adalah cubaan pihak pembangkang untuk mencemarkan nama baik Ketua Menteri Sabah.

“Dakwaan di laman Facebook itu dipenuhi dengan fakta rekaan. Semakan dengan Jabatan Tanah dan Ukur negeri menunjukkan semua permohonan tanah diproses mengikut prosedur dan undang-undang sedia ada.

“Malah, tiada hak milik tanah dikeluarkan untuk empat permohonan tanah yang disebut dalam laman Facebook itu.

“Laman Facebook itu juga mendakwa ahli perniagaan terbabit dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Hajiji, jadi mesti ada sesuatu yang mencurigakan.

“Tapi ahli perniagaan itu juga dilihat rapat dengan bekas Ketua Menteri yang juga Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Sebagai tindakan balas, Nizam berkata, pihaknya akan membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook terbabit bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

“Laporan polis akan dibuat terhadap laman Facebook itu supaya siasatan dapat dilakukan untuk membawa pihak yang bertanggungjawab menyebarkan pembohongan ke muka pengadilan,” katanya.

Sebuah laman Facebook menggunakan nama Edisi Panas Sabah sebelum ini memuat naik satu artikel bertajuk Salah Guna Kuasa Ketua Menteri Sabah yang antara lain mendakwa berlaku skandal salah guna kuasa membabitkan Hajiji yang mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia berkaitan pengambilan beberapa bidang tanah mengandungi pasir silika di Pulau Balambangan, Kudat, merangkumi tanah milik Yayasan Sabah dan tanah kerajaan negeri.