KPB nafi dakwaan campuran beras plastik di Sandakan

SANDAKAN : Kawalselia Padi Beras (KPB) Sandakan menangkis dakwaan berhubung wujudnya campuran beras plastik melibatkan jenama beras tempatan seperti yang ditularkan oleh seorang pengguna.

Ketua Cawangannya, Mohamad Saiful Nizam Adnan berkata pihaknya memandang serius terhadap dakwaan itu yang ditularkan melalui rakaman video berdurasi 1 minit 20 saat, dilaporkan berlaku di Sim-Sim di sini semalam.

KPB nafi dakwaan campuran beras plastik di Sandakan.

“Pihak peruncit dan pembekal jenama tersebut telah membuat aduan secara rasmi berkaitan komen-komen negatif dan kerisauan pengguna terhadap video yang tular itu.

“Kami telah menjalankan siasatan mengenai dakwaan ini dengan mengambil sampel beras di premis peruncit dan pembekal untuk di hantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisa,” katanya di Sandakan.

Menurut beliau, tidak wujud sebarang campuran beras plastik di negara ini termasuk di Sandakan berikutan setiap beras import akan melalui ujian makmal terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan produk itu.

Selain itu, katanya pihak negara pengeksport juga perlu mengemukakan sijil keselamatan bagi beras yang dieksport.

“Proses ini amat dititikberatkan bagi setiap kemasukan beras import ke negara ini bagi menjamin keselamatan beras yang merupakan makanan ruji rakyat,” jelasnya.

Sehubungan itu, KPB tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kegusaran orang awam terhadap isu keselamatan makanan negara terutama beras.

Dan, pihaknya sedia mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab berkaitan perkara tersebut.

“Orang awam dinasihatkan untuk tampil membuat aduan secara rasmi ke pejabat KPB jika terdapat masalah berkaitan beras dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu atau tiada asas kukuh seperti yang didakwa di media sosial.

“Biar pihak ditauliahkan dan pakar yang membuat pengesahan mengikut kaedah yang ditetapkan. Tidak perlu membuat keputusan sendiri yang akhirnya mendatangkan kesan buruk pada diri sendiri sekaligus melibatkan pihak lain,” jelasnya.

Isu bekalan beras tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).