KOTA KINABALU: Presiden Parti Progresif Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee perlu fokus menyelesaikan isu dua kolam sama ada memilih bersama Perikatan Nasional (PN) atau Kerajaan Perpaduan daripada sibuk menguruskan parti orang lain.
Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Negeri Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, ketika ini rakyat di Sabah keliru dengan isu SAPP bermain ‘Dua Kolam’ sehingga gagal menguruskan hal tuju partinya sendiri.
Katanya, hari ini Yong Teck Lee sibuk untuk menasihatkan dua pemimpin DAP Sabah supaya menerima penganugerahan Datuk dengan penuh syukur tanpa perlu memikirkan apa yang diperkatakan oleh kepimpinan parti itu yang berpusat di Semenanjung.
“Yong Teck Lee sedarkah SAPP bermain dua kolam….Selesaikan lah isu ini daripada fikir hal urusan parti lain penting agar rakyat tidak keliru dengan hala tuju parti mereka.
“Jangan sahaja nanti Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Noor cakap SAPP sokong kerajaan perpaduan tapi pada dasarnya ada yang di dalam parti sendiri menyokong PN secara terang – terangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jeffrey Nor merupakan Ketua Bahagian UMNO Putatan berkata demikian ketika mengulas isu berkaitan kenyataan akhbar Yong Teck Lee menyarankan agar kedua-dua pemimpin DAP Sabah menerima penganugerahan Datuk dengan penuh syukur tanpa perlu memikirkan apa yang diperkatakan oleh kepimpinan parti itu yang berpusat di Semenanjung.
Menurut Jeffrey Nor, isu ini biarlah diselesaikan sendiri oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) akan menguruskan tindakan terhadap dua pemimpin mereka selepas menerima gelaran Datuk sempena Hari Jadi Rasmi Ke-70 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada sabtu lalu.
“Kenyataan Yong Teck Lee seperti menyebut beliau berasa terhibur dengan pemimpin DAP Sabah, Chan Foong Hin dan Phoong Jin Zhe seolah-olah ikut campur terhadap urusan parti orang lain.
“Yong Teck Lee juga mengatakan kedua-dua pemimpin DAP Sabah itu berpura-pura tidak berdaya dalam menerima Darjah Hari Keputeraan Yang Di-Pertua Negeri Sabah (TYT) sebagai Datuk seolah-olah anugerah yang dihormati itu dipaksakan kepada mereka pada saat-saat akhir,” jelas Jeffrey Nor