Hajiji nafi berlaku salah guna kuasa pengambilan tanah di Kudat

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menafikan berlaku salah guna kuasa dalam kelulusan berhubung rundingan pengambilan tanah di Kudat.

Menerusi satu kenyataan hari ini, beliau berkata semua permohonan berkaitan pengambilan tanah dibuat adalah mengikut undang-undang.

Katanya, dakwaan kononnya berlaku salah guna kuasa membabitkan dirinya adalah berniat jahat, bermotifkan politik dan bertujuan memburukkan namanya.

“Pejabat saya akan memberi kerjasama penuh terhadap mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung dengan dakwaan ini,” katanya.

Hajiji berkata, semua permohonan tanah dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan melalui mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) dan diproses di pejabat.

“Permohonan membabitkan tanah Yayasan Sabah sudah dirujuk kepada Lembaga Pengarah Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) dan semuanya dibuat mengikut undang-undang.

“Siasatan akan dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pegawai yang mendedahkan dokumen rahsia yang digunakan untuk membuat dakwaan terbabit,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa juga sudah dimaklumkan mengenai akaun Facebook yang memuat naik dakwaan untuk mencemarkan reputasinya itu.

“Saya juga akan mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap dakwaan palsu ini,” katanya.

Sebelum ini, sebuah laman Facebook memuat naik satu artikel yang mendakwa Hajiji menggunakan kuasanya meluluskan permohonan tanah di daerah itu termasuk milik Yayasan Sabah.