SANDAKAN : Majlis Anugerah Kecemerlangan merupakan satu bentuk apresiasi murid yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang sesi persekolahan.
Penolong Pegawai Pendidikan, Unit Pendidikan Islam, Sektor Pembelajaran, Ustaz Saruddin Andang menzahirkan rasa bangga melihat peningkatan prestasi pencapaian akademik terutama bagi sekolah agama.
“Kemenjadian ini menjadi asbab pembukaan lebih banyak Kelas Aliran Agama (KAA) di peringkat sekolah menengah di Sandakan” katanya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan (MPAK) Kali Ke-6 Sekolah Rendah Islam (SERI) Ar-Raudhah Sandakan di Dewan Masjid Daerah Sandakan di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Syura, Ahdin Singky turut menzahirkan rasa syukur atas pencapaian pelajar yang memberangsangkan ini.
“Kejayaan ini merupakan tanda-tanda positif dalam pencapaian misi dan visi sekolah yang berhasrat melahirkan ikon pelajar yang cemerlang dalam bidang agama, tahfiz dan akademik,” katanya.
Ahdin juga mengucapkan tahniah kepada semua guru-guru yang sudah bertungkus lumus mendidik dan memberikan tunjuk ajar kepada semua pelajar serta menjayakan MPAK ini.
Beliau juga melahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses pendaftaran sekolah itu di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia sehingga berjaya menjadi sekolah agama swasta yang ketiga berdaftar di Sabah.
Sementara itu, Mudir Sekolah, Ustaz Bunyamin Bakri berharap dengan adanya majlis ini semua pelajar lebih termotivasi untuk bersaing secara sihat dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Beliau juga mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua murid yang berjaya menerima anugerah dan berharap penghargaan dan kejayaan yang diperolehi dapat menjadi pembakar semangat pelajar untuk terus berjaya.
MPAK kali ini menyaksikan penerima anugerah utama iaitu Muhammad Syahmie Syahiran sebagai Tokoh Pelajar dan Tokoh Kokurikulum manakala Batrisya Dian Qistina sebagau Tokoh Hal Ehwal Murid.
Pada majlis tersebut, seramai 51 murid Tahun 6 turut menerima Sijil Tamat Persekolahan.