Kerajaan Negeri di landasan tepat fokus isu rakyat, kurangkan bicara politik – Masiung

KOTA BELUD; Kerajaan negeri berada dilandasan tepat dengan memfokuskan isu rakyat terlebih dahulu dan mengurangkan bicara politik.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, sekiranya melayani karenah pembangkang, akhirnya kepentingan rakyat terabai.

Masiung Banah

“Rakyat Sabah pada ketika ini mengharapkan bantuan dan keprihatinan kerajaan untuk menguruskan isu-isu domestik yang belum selesai.

“Pemimpin pembangkang boleh bercakap apa saja, kerana itu memang kerja mereka. Tapi amanah kita sebagai pemimpin kerajaan yang memerintah harus diutamakan,” katanya ketika merasmikan pejabat Gagasan Rakyat Bahagian Kadamaian, yang diadakan serentak sambutan krismas dan Tahun Baharu, semalam.

Wakil Rakyat Kuamut itu berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berpesan kepada pemimpin kerajaan Negeri supaya tidak terlalu berpolitik sebaliknya mendahulukan kepentingan rakyat.

Menurutnya, antara isu domestik yang perlu segera diperbetulkan kini ialah masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Masiung menjelaskan, walaupun pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di bawah pelaksanaan Kerajaan Persekutuan, namun kerajaan Sabah mengambil peranan aktif bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

Pada masa ini katanya, isu bekalan air sudah hampir selesai dan kerajaan Sabah juga telah mengambil alih pengurusan Sabah Elektrik Sdn Bhd (SESB) namun masih banyak perkara yang perlu ditambah baik.

Pada majlis itu, Masiung turut mendermakan lima buah penghawa dingin untuk pejabat Gagasan Rakyat Kadamaian.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kadamaian, OKK Ruslan Duraman antara 250 penyokong parti itu yang memeriahkan majlis berkenaan.

Gagasan Rakyat Kadamaian merekodkan lebih 4,000 ahli menerusi 114 cawangan yang berdaftar.