LABUAN: Seramai 240 kanak-kanak Tabika dari 10 buah Tabika KEMAS di sini yang bakal melangkah ke alam persekolahan rendah diraikan dalam Majlis Hari Apresiasi Tabika KEMAS peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.
Majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan pada Sabtu lalu telah dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Hadir sama, Pegawai Kemas Wilayah Persekutuan Labuan Gilbert Julian.
Terdahulu, Simsudin ketika berucap, berkata penglibatan ibu bapa adalah amat penting untuk bersama sama memahami perkembangan anak-anak.
“Penglibatan ibu bapa ia bukan sahaja mewujudkan kesinambungan amalan di rumah tetapi juga mampu mendorong penglibatan aktif kanak-kanak dalam akademi dan sahsiah diri supaya mereka lebih yakin dan berdaya saing,” katanya.
Simsudin berkata, pendidikan awal kanak-kanak juga dianggap sebagai pelaburan yang cukup penting oleh ibu bapa dalam menyediakan generasi yang mempunyai daya ketahanan untuk menghadapi cabaran daripada aspek fizikal dan mental.
Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan keberhasilan kanak-kanak, Tabika KEMAS telah mengunapakai Standart Kualiti Pra Sekolah ( SKPK) yang bertujuan untuk mengukur kualiti pra sekolah yang meliputi guru dan pembantu guru, kualiti tadbir urus dan kualiti kurikulum.
“Selain itu KEMAS juga mengunapakai instumen Pentaksiran PraSekolah Kebangsaan (IPPK) yang merupakan sistem bagi mentaksir perkembangan kanak-kanak berdasarkan komunikasi, kerohanian dan keterampilan diri,” katanya.
Pelbagai aktiviti telah dijalankan sempena majlis itu, antaranya penyampaian sijil kepada murid TABIKA Kemas, persembahan pidato, story telling dan persembahan tarian oleh anak-anak TABIKA Kemas.
GAMBAR: SIJIL..Simsudin (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada anak-anak TABIKA sambil diperhatikan Gilbert (kanan sekali)