Sarjan polis mengaku tidak bersalah terima suapan bernilai RM2,000

KOTA KINABALU : Seorang anggota polis berpangkat Sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu hari ini atas pertuduhan menerima suapan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zakaria Mohd Jasni, 40, mengaku tidak bersalah menerima suapan bernilai RM2,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank milik individu lain sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan ke atas pengedaran dadah yang dijalankan oleh seorang individu di Kudat.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh lebih kurang pukul 12.20 petang pada 18 Jun 2021 di Fook Soon Seafood Product Sdn Bhd, Kudat.

Semasa kejadian, tertuduh merupakan seorang polis berpangkat Sarjan yang bertugas di Jabatan Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Daerah Kudat.

Kes tersebut didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim, Jason Juga memerintahkan tertuduh untuk diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan deposit RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh juga diperintahkan untuk melapor diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan.

Selain itu, tertuduh juga perlu menyerahkan passport antarabangsa kepada pihak mahkamah dan tertuduh juga diarahkan untuk tidak mengganggu saksi.