LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan Labuan menyelamatkan harta benda bernilai RM86 juta dalam kes kebakaran yang berlaku sepanjang tahun 2023.
Manakala dalam tempoh yang sama sejumlah RM1.15 juta kerugian harta benda yang membabitkan kenderaan dan bangunan (rumah) telah direkodkan akibat kebakaran.
Pengarah JBPM Labuan, Abdul Rahman Ali berkata pihak bomba telah merekodkan sebanyak 38 kes kebakaran sepanjang tahun 2023 membabitkan 28 kes kebakaran struktur dan sembilan kes kebakaran kenderaan.
“Sepanjang tahun 2023 pihak bomba telah menerima sebanyak 851 panggilan kecemasan membabitkan 199 kes kebakaran, 630 kes penyelamatan dan 22 membabitkan kes tugas tugas khas,” katanya.
Beliau berkata demikiam pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM 2024 peringkat JBPM Labuan di Padang Kawad Balai Bomba Sentral, dekat sini, semalam.
Pada majlis itu, seramai lima individu telah menerima sijil penghargaan ‘Hero Bomba’ termasuk salah seorang daripadanya ialah Allahyarham Gillian Donald yang terkorban ketika menyelamatkan tujuh penghuni sebuah rumah yang terbakar di Kampung Merinding, baru baru ini.
Empat yang lain ialah pasangan adik beradik Ryan Macdonell Andrias dan Ress Maximus Andrias, Mohd Zainal Tajuddin dan Muhiddin Sohod.
Manakala 32 individu masing masing 17 kakitangan JBPM Labuan, lima pengamal media dan 10 anggota Labuan Emergency Mutual Aid (LEMA) menerima sijil penghargaan.
Dalam pada itu, dua kakitangan jabatan itu menerima kenaikkan pangkat terdiri Pegawai Bomba Kanan Datu Ahmad Suhardi Datu Golden dan Penolong Akauntan Dayang Suhaila Md. Alwee.
Selain itu, Abd Rahman turut menyampaikan Insuran takaful berkelompok kepada Rokia Tamit.