Mahasiswa Sabah Mesir mendepani COVID-19 dengan pengisian rohani

KAHERAH: Seramai 100 mahasiswa Sabah di Mesir menghadiri dalam program Majlis Sambutan Maulid Bulanan dan Manaqib di sini baru-baru ini.

Program yang mendapat kerjasama daripada Wisma Yayasan Sabah Kaherah serta dianjurkan Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir melalui Biro Dakwah dan Tarbiah Badan Kebajikan Penuntut Sabah.

Hafiz Hamzah ketika berucap pada majlis itu.

Pegawai Tadbir Kanan, Wisma Yayasan Sabah Kaherah, Hafiz Dr Hamzah dalam ucapannya mengingatkan agar setiap daripada Mahasiswa perlu mendapat reda Allah sambil disandarkan restu dalam kalangan ibubapa mereka.

“Seperti mana kita ketahui reda Allah terletak pada reda ibu bapa. Oleh itu, kita berpesan kepada semua khususnya mahasiswa Sabah agar sentiasa memohon doa keredaan agar perjalanan kehidupan dipermudahkan oleh Allah atas keredaannya,” katanya.

Hafiz yang juga Pegawai Atase Pendidikan Negeri Sabah berkata, setiap Mahasiswa perlu tahu peranan dan tanggungjawab mereka sekali gus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Sementara itu, Ketua Biro Dakwah dan Tarbiah Badan Kebajikan Penuntut Sabah Mesir, Muhammad Irfan Halim berkata, sebagai mahasiswa tanggungjawab adalah fokus kepada tugasan menjadikan pelajaran sebagai keutamaan mereka.

“Kita seharusnya membalas jasa serta pengorbanan ibubapa dengan memberi keutamaan dalam soal pelajaran sambil tidak melupakan tanggungjawab kepada Allah SWT,” katanya.

Majlis diserikan dengan kehadiran kumpulan Thariqat Qadiriah Naqsyabandiah Suryalaya (TQN) dan Kumpulan Qasidah Hadra Aksara.

Hadir sama, Sohib Al-Fadhilah Al-Habib Ahmad Abdul Rahman Al-Maqdi Al-Azhari, Graduan Sarjana Muda Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar serta Ahli Lembaga Fatwa Mesir di Darul Ifta’ Al-Misriyah.