Bincang isu kenaikan harga barangan asas di DUN – Masiung

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut, Datuk Masiung Banah mencadangkan isu harga barangan asas yang kini naik mendadak dibincangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang akan bersidang pada 03 hingga 09 Disember ini.

Katanya, kenaikan harga barangan merupakan isu kecemasan kerana rakyat kini sedang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan tindakan segera perlu diambil menerusi platform DUN.

Beliau berharap, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mengambil maklum masalah ini kerana rakyat sudah melaungkan keperitan, lebih-lebih lagi isu ini timbul bersempena seratus hari pembentukan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita sedia maklum status kewangan rakyat secara umumnya masih dalam pemulihan. Jika kenaikan harga ini tidak diurus dengan baik ia akan memberi beban yang teruk kepada pengguna sekaligus memberi kesan buruk kepada Kerajaan.

“Dalam isu ini, rakyat sudah jemu mendengar agensi terbabit melaporkan ‘sedang mengkaji’ atau akan dibawa mesyuarat sedangkan kenaikan harga barangan terus berlaku, ” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Masiung berkata, terdapat beberapa insiden di media sosial mengenai harga kayangan yang tidak masuk akal dilaporkan pengguna kepada pihak berwajib namun langkah diambil pihak berkuasa tidak setimpal.

“Sudah sampai masanya sidang DUN dijadikan platform bagi menyelesaikan isu ini di peringkat negeri khususnya kepada rakyat Sabah agar mereka tidak terus dibebani kenaikan harga runcit sedangkan gaji dan pendapatan mereka tidak bertambah, ” katanya.

Beliau berharap, DUN Sabah menyediakan agenda mengenai isu ini dan dalam masa sama kementerian berkaitan perlu menyediakan laporan untuk dibincang dan dibahaskan.

Jelas Masiung, sejak September lalu kenaikan harga barangan terus meningkat, bermula kenaikan harga racun rumpai yang naik melebihi seratus peratus dan diikuti oleh harga baja dan bahan kimia pertanian lain.

Bulan lalu, harga bahan binaan terutama besi dan simen dilaporkan naik mendadak sebelum harga bahan makanan harian melonjak diluar kawalan.

Isu kenaikan harga barangan hangat dibahaskan di Dewan Rakyat semalam apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi diserang beberapa ahli parlimen pembangkang kerana berdolak dalik dalam isu tersebut.