Madrasah perlu berdaftar agar bantuan dapat disalurkan – Nizam

TAWAU : Madrasah di sekitar  Tawau digalakkan agar dapat mendaftarkan perkhidmatan mereka bagi membolehkan kerajaan dapat menyalurkan segera bantuan kepada mereka.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Madrasah ini berfungsi sebagai pusat pembelajaran kini menjadi tumpuan pelajar khususnya dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri bersedia membantu disamping menyalurkan bantuan penuh kepada madrasah yang berdaftar bagi memberikan manfaat serta kebaikan kepada pelajarnya.

“Kita sarankan agar Madrasah di sekitar di negeri ini agar segera mendaftarkan pengajian mereka disamping membantu memudahkan pengurusan mereka selain mampu menjalankan aktiviti agama secara lebih efisien.

“Kita memastikan anak-anak mendapat lulusan sekolah aliran agama akan diberikan peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan bantuan kerajaan,” katanya.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerajaan negeri yakin Madrasah ini akan membantu melahirkan lebih ramai generasi mahir serta celik Al-Quran terutamanya bagi peringkat belia di negeri ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Nizam berharap juara hafazan serta tilawah Al-Quran daerah Tawau ini dapat meningkatkan mutu bacaan mereka.

“Ini agar menjadi contoh kepada daerah lain sekali mampu meningkatkan syiar Islam di negeri ini.

“Kita mahu Tawau dapat melahirkan lebih ramai mereka yang mampu menguasai pembelajaan Al-Quran dengan lebih baik pada masa depan,” jelas Nizam.