KOTA KINABALU : Walter Joseph Kinson dilantik sebagai Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang baharu berkuat kuasa secara serta-merta.
Walter, 57 menerima watikah pelantikan daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, di sini hari ini.
Beliau akan memulakan tugas berkuat kuasa bulan ini menggantikan Presiden MPS, terdahulu, Henry Idol.
“Walter merupakan pilihan yang tepat memegang jawatan ini kerana beliau mempunyai pengalaman luas dalam sektor perkhidmatan awam selama 36 tahun di pelbagai kementerian.
“Beliau pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR), “ jelas Joachim.
Menurutnya, Walter juga pernah menjadi Pengarah Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar di Dewan Bandaraya Kota Kinabalu serta Pegawai Daerah Keningau.
“Kita berharap agar semua penerima watikah pelantikan dapat menjalankan tugas dan Amanah dengan penuh dedikasi.
“Ini khusus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat khususnya di MPS dan MPT,” kata Joachim.
Dalam perkembangan sama, Joachim turut menyampaikan watikah pelantikan bagi meneruskan tempoh perkhidmatan kepada Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Joseph Pang, serta Timbalan Presiden MPS, Wilson Thomas.
