KOTA KINABALU: Parti WARISAN menyerahkan kepada Mahkamah untuk mengambil tindakan terhadap beberapa bekas wakil rakyatnya menyertai parti pemerintah baru-baru ini.
Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Jaujan Sambakong, berkata WARISAN kekal berpegang kepada prinsip untuk fokus membantu rakyat sekali gus memikul mandat diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu.
Katanya, kesemua sebelum dilantik sudah terikat dengan perlembagaan parti ketika melafazkan sumpah taat setia sebelum dipililh mewakili WARISAN bertanding pada PRN16.
“Dalam watikah pelantikkan tersebut semua mereka bersetuju untuk menghormati serta akur untuk meletakkan jawatan sekiranya beralih sokongan sekali gus melompat parti selepas PRN lalu.
“Jika betul mereka ingin berjuang demi rakyat…jadilah YB Bebas tanpa menyertai mana-mana pemerintah dengan bergerak secara bersendirian. Jangan gunakan alasan keluar parti demi untuk memperjuangkan rakyat.
“Tindakan mereka keluar parti ini seolah-olah parti WARISAN tidak memperjuangkan rakyat…Mereka menyertai parti pemerintah boleh ditafsirkan kepada perjuangan untuk diri sendiri bukan untuk membantu rakyat serta kawasan yang diwakili,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Jaujan yang juga ADUN Sulabayan berkata, tanpa bertanding melalui parti WARISAN sudah tentu wakil rakyat itu tidak akan meraih kemenangan besar hasil sokongan rakyat di peringkat akar umbi.
WARISAN sangat konsisten memperjuangka mandat yang diberikan rakyat pada PRN lalu dengan mengutamakan kepentingan menjadi asas utama dalam perjuangannya.
“Jangan gunakan alasan keluar untuk parti memperjuangkan rakyat…Dalam masa tidak bersetuju dengan pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti kononnya tidak wajar dilaksanakan dan tidak munasabah untuk dibahaskan,” katanya.